REAL MADRID 6 GIRONA 3

Lucas Vazquez memuji wira Real Madrid, Cristiano Ronaldo, yang menggegar gawang sebanyak empat kali dalam kemenangan 6-3 ke atas Girona dalam aksi LaLiga.


Pemenang Ballon d'Or lima kali, Ronaldo, meneruskan prestasi hebatnya pada 2018 ketika Madrid mengatasi Girona di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Ia juga merupakan hatrik ke-50 bintang Portugis itu sejak menyertai Madrid -- selepas hanya menjaringkan empat gol LaLiga sebelum tahun baru, namun kini mempunyai koleksi 22 gol liga di belakang Lionel Messi, 25 -- apabila menyumbat 21 gol dalam 11 perlawanan terakhirnya.

"Apabila Cristiano Ronaldo menjadi, maka Real Madrid akan bertambah baik," kata Vazquez.

"Cristiano bermain di tahap yang hebat dan dia menunjukkannya setiap hari.

"Jika dia berterusan begini, maka dia akan dekat dengan Messi (dalam perlumbaan Pichichi)."

Rakan sepasukan, Nacho Fernandez, menambah: "Cristiano sukar dipercayai. Sekali lagi, pada musim ini dia membuktikan bahawa dia adalah yang terbaik di dunia.

"Dia digantung pada permulaan kempen, dia tumpul dan baginya, itu aneh. Kini dia membantu pasukan dan ia benar-benar positif buat kami."

Pemain tengah, Mateo Kovacic, pula berkata: "Kami tidak terkejut dengan kemampuan Cristiano, setiap hari dia menjaringkan gol.

"Dia perlu diucap tahniah tetapi kemenangan ini bukan kerana dia semata-mata kerana kami semua telah tampil hebat.

"Saya gembira bagi pihaknya tetapi yang paling mustahak, pasukan meraih kemenangan tanpa mengira siapa penjaringnya."