Pemain sayap Real Madrid, Lucas Vazquez, telah dipanggil membarisi skuad Sepanyol bagi menggantikan Vitolo yang mengalami kecederaan lutut.

Vitolo, yang ketika ini sedang dipinjamkan ke Las Palmas sebelum mengesahkan perpindahan ke Atletico Madrid, Januari ini, mengalami kecederaan ligamen ketika sesi latihan.

"Semalam ketika sesi latihan, pemain itu mengalami kecederaan kecil di bahagian ligamen lututnya," Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan.

"Selepas mendapatkan nasihat pasukan perubatan, pemain itu bakal meninggalkan skuad Sepanyol petang ini."

Vitolo telah pun mengesahkan statusnya antara pemain penting dalam skuad Julen Lopetegui, apabila menyumbang empat gol dalam lima penampilan dalam kelayakan Piala Dunia.

Juara Piala Dunia 2010 itu bakal berdepan Itali dalam aksi Kumpulan G, Sabtu ini, sebelum bertandang ke Liechtenstein, tiga hari selepas itu.