England terpaksa melupakan khidmat Jamie Vardy untuk menghadapi Scotland dan Perancis selepas penyerang Leicester City itu diketepikan daripada skuad kendalian Gareth Southgate itu akibat kecederaan.

Vardy merupakan antara empat penyerang yang dinamakan Southgate untuk menentang Scotland dalam aksi kelayakan Piala Dunia dan perlawanan persahabatan dengan Perancis, tiga hari kemudian.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu tidak akan memainkan peranan selepas mengalami kecederaan ringan semasa latihan.

"Jamie telah meninggalkan skuad England sebagai langkah berjaga-jaga selepas ditimpa kecederaan dalam sesi latihan di St George's Park," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan.

Situasi itu meninggalkan Southgate dengan tiga pilihan penyerang, Jermain Defoe, Harry Kane dan Marcus Rashford manakala Wayne Rooney tidak tersenarai.

Begitupun, Southgate memilih untuk hanya menggunakan pemain sedia ada.