REAL MADRID 2 OSASUNA 0

Raphael Varane hanya mengalami cedera ringan, kata Zinedine Zidane yang menaruh harapan agar bek tengahnya itu sempat cergas untuk menghadapi Chelsea pada pertengahan minggu depan.


Varane dikeluarkan ketika rehat menentang Osasuna, awal pagi tadi, dengan Madrid menang 2-0 hasil jaringan lewat sumbangan Eder Militao dan Casemiro.

Kemenangan itu kembali mengangkat Madrid dua mata di belakang pendahulu LaLiga, Atletico Madrid, yang terlebih menundukkan Elche.

Dengan Los Blancos akan menghadapi kelab di tempat keempat, Sevilla, pada minggu depan, manakala Barca pula akan menjadi tuan rumah kepada Atleti dalam perlumbaan sengit memburu gelaran liga.

Namun, penggantian Varane menjadi topik utama memandangkan sebelum menghadapi Sevilla, Madrid perlu mengunjungi Stamford Bridge terlebih dulu untuk diuji Chelsea pada Khamis depan selepas mereka terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Zidane berharap isu yang dihadapi pertahanan Perancis itu tidak akan berlanjutan.

"Saya tidak pasti, kami perlu menunggu," katanya kepada wartawan.

"Dia memberitahu saya bahawa ia adalah perkara kecil. Saya harap seperti itulah."




Ketika berdepan Osasuna, Madrid membuat 13 percubaan tepat pada awal 45 minit -- asakan babak pertama terbanyak Los Blancos musim ini -- namun mereka perlu menunggu hingga minit ke-76 untuk menembusi gawang lawan sebelum sepakan sudut Isco ditanduk Militao untuk gol sulung LaLiga oleh pertahanan tengah itu.

Penyudah yang tidak disengajakan oleh Casemiro kemudian meletakkan Madrid 2-0 ketika permainan berbaki 10 minit, lantas Zidane gembira dengan tahap kesabaran yang disajikan oleh anak buahnya bagi melakar rentetan kemenangan ke-11 di tempat sendiri ke atas Osasuna dalam LaLiga -- kali terakhir mereka gagal memungut mata penuh ialah ketika seri 1-1 pada Disember 2005.

"Saya seronok dengan perlawanan hari ini, kami pungut tiga mata. Saya gembira dengan usaha yang ditonjolkan pemain," tambahnya.

"Dalam babak pertama, kami mempunyai empat atau lima peluang dan kami tidak menjaringkan gol, ini agak mengecewakan mereka. Ketika rehat saya berpesan bahawa satu gol akan tiba menerusi kesabaran dan permainan yang ditampilkan.

"Saya sangat gembira dengan mereka, mereka menderita dan sebaik mereka mencetak gol, anda tahu ia adalah satu kelegaan besar buat mereka."