Raphael Varane berasa bangga dipilih untuk mengetuai Perancis dalam perlawanan persahabatan menentang Afrika Selatan awal pagi esok.

Pertahanan tengah Manchester United itu diberikan lilitan lengan menjelang aksi persahabatan di Stade Pierre-Mauroy di Lille, yang merupakan kampung halaman pemain berusia 28 tahun itu, selepas kapten Hugo Lloris, direhatkan.

Pasukan bimbingan Didier Deschamps itu sedang menjalani persiapan terbaik menjelang saingan Piala Dunia Qatar 2022 pada penghujung tahun ini bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada 2018.

Dengan Lloris akan direhatkan bagi memberikan peluang buat penjaga gol AC Milan, Mike Maignan, Varane berkata ia merupakan satu kebanggaan untuk dia mengetuai pasukan kebangsaan itu di kampung halamannya.

"Ia satu kebanggaan yang besar. Saya membesar tidak jauh dari sini. Saya dilahirkan di Lille, saya dibesarkan di antara Lille dan Lens.

"Sudah pasti ia agak istimewa," katanya.

Varane juga memberikan komen menegani pemilihan Maignan, yang merekodkan 11 perlawanan tanpa dibolosi dalam Serie A musim ini, sambil memuji kepimpinan dan perwatakan pemain berusia 26 tahun itu.

"Dia membawa sesuatu yang hebat. Dia hebat ketika menyepak bola, dia membawa perwatakannya, dia sememangnya seorang pemimpin secara semula jadi.

"Dia terus berkembang dan terus berevolusi. Dia mempunyai bakat yang besar," katanya lagi.