Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) mungkin digunakan di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) musim ini, demikian bayangan yang diberikan oleh Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, dan Pengerusi Persatuan Kelab Eropah, Andrea Agnelli.

Badan induk bola sepak Eropah itu telah mengumumkan perancangan untuk menggunakan VAR bagi musim 2019-20 dan berada dalam fasa akhir untuk menguji teknologi tersebut.

VAR digunakan dalam LaLiga musim ini selepas keberkesanannya dalam Piala Dunia 2018.

Serie A, Bundesliga, Ligue 1, dan Liga A serta Liga Bolasepak Utama (MLS) telah menggunakannya dan Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal mengambil pendekatan yang sama musim depan.

Bercakap dalam sidang media di Brussels semalam, Ceferin dan Agnelli mungkin menjangkaui perancangan awal UEFA dalam penggunaan VAR.

"Kami telah memulakan persiapan. (Ketua pengadil-pengadil UEFA) Roberto Rosetti dan pasukannya sudah bersedia. Perkara ini akan meningkatkan lagi mutu permainan," kata Ceferin.

"Saya menjangkakan laporan dalam tempoh seminggu sebelum kami menggunakan sistem ini."

Agnelli, yang juga pengerusi Juventus, menjelaskan bahawa VAR boleh digunakan lebih awal.

"Kami memiliki ruang untuk menggunakannya lebih awal jika segalanya berjalan lancar.

"Kami sangat gembira dengan usaha ini, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada UEFA di atas usaha mereka."