Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) mungkin akan digunakan dalam final Piala FA dan Piala Malaysia bermula musim depan tetapi perkara ini masih dalam penelitian.

Perkembangan tersebut disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi, ketika memaklumkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam bagi penggal 2021-2025, hari ini.

“Dimaklumkan bahawa FAM kini dalam proses penelitian dan perbincangan bagi menggunakan VAR dalam kempen Piala FA dan Piala Malaysia bagi saingan 2023.

“Buat sementara ini, kita membincangkan untuk menggunakan VAR untuk dua kejohanan ini sahaja dan bukan untuk liga lagi,” katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di Wisma FAM pada Isnin

Untuk rekod, teknologi VAR pertama kali digunakan di Malaysia pada perlawanan akhir Piala AFC antara KL City FC dan kelab Oman, Al-Seeb, di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram, berkata kos teknologi VAR itu mungkin akan menelan belanja hampir RM4 juta hingga RM5 juta melibatkan 300 hingga 400 perlawanan semusim.

Jelasnya lagi, sebagai persediaan penggunaan teknologi itu dalam kancah bola sepak negara, pihaknya akan menghantar pengadil tempatan ke luar negara bagi menimba ilmu dan menjalani kursus penggunaan VAR.




“Kami perlu mengkaji dengan lebih mendalam. Mungkin ia akan digunakan bermula di peringkat suku akhir dan seterusnya atau mungkin daripada peringkat kumpulan.

“Kami perlu adakan mesyuarat dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai badan pengendali liga tetapi kita memang menuju ke arah itu (penggunaan VAR).

“Pengadil kami pun akan menjalani kursus VAR selama enam hingga sembilan bulan. Kami berhubung dengan FIFA dan AFC bagi mendapatkan tenaga pengajar,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian