Jurulatih Belanda, Ronald Koeman, berkata Robin van Persie masih mampu kembali memperkuatkan skuad itu andai dia dapat mengekalkan kecergasannya.

Pemain berusia 34 tahun itu yang mencatat rekod 50 gol dalam 102 penampilan untuk negaranya, tidak lagi dipanggil menyertai pasukan Oranje sejak kekalahan 4-0 kepada Perancis dalam kelayakan Piala Dunia, Ogos lalu.

Begitupun, Koeman tidak menolak kemungkinan membawa penyerang itu kembali ke pentas antarabangsa memandangkan Van Persie sudah menyumbat empat gol untuk Feyenoord sejak kembali ke kelab itu pada Januari lalu.

"Dia tidak mengatakan dia akan bersara, namun dia harus cergas sepenuhnya," kata Koeman, yang menonton Van Persie menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-3 ke atas PEC Zwolle dalam saingan Eredivisie, Ahad lalu.

"Dia sekali lagi menunjukkan kelasnya pada Ahad lalu dan terlebih dahulu, saya tidak akan mengatakan tidak."

Belanda memerlukan kapten baru untuk perlawanan persahabatan dengan England dan Portugal bulan ini susulan persaraan Arjen Robben pada November lalu.

Dengan Van Persie belum ada dalam perancangannya manakala pemegang rekod penampilan terbanyak, Wesley Sneijder, juga bersara, Koeman bercadang menyerahkan lilitan kapten kepada pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk.

"Saya akan buat keputusan itu," katanya. "Saya tidak mengundi, jadi saya akan membuat keputusan.

"Saya tidak fikir kami harus mempunyai pemimpin baru, mesti ada seseorang yang mempunyai karakter dominasi di dalam kumpulan dan bermain dalam kedudukan tertentu, Virgil van Dijk adalah kemungkinan sebagai kapten."