Ruud van Nistelrooy bangga apabila berpeluang mengetengahkan bakat pengurusannya di hadapan bekas bosnya di Manchester United, Alex Ferguson, dalam perlawanan play-off Liga Juara-Juara (UCL) yang menyaksikan PSV diikat Rangers.

Ferguson hadir di Ibrox ketika pasukan-pasukan itu seri 2-2, semalam.

Antonio Colak menyamakan kedudukan selepas gol pembukaan Ibrahim Sangare dalam separuh masa pertama sebelum Tom Lawrence meletakkan pasukan Scotland itu di depan, tetapi skuad kendalian Van Nistelrooy tersebut memastikan kedudukan seimbang menjelang pertemuan kedua minggu depan selepas Armando Obispo menanduk masuk gol penyamaan 12 minit sebelum wisel penamat.

Bekas penyerang Belanda itu dilantik sebagai ketua jurulatih PSV sejak awal musim ini bagi menggantikan Roger Schmidt sekali gus menggalas peranan pertamanya dalam bidang pengurusan.

Van Nistelrooy -- yang mewakili United sebanyak 219 perlawanan di bawah asuhan Ferguson di antara 2001 dan 2006 dengan berledak 150 gol -- berkata dalam sidang akhbar selepas perlawanannya itu bahawa ia adalah saat yang membanggakan untuknya berada di bangku simpanan sambil mengetahui bekas pengurusnya itu sedang menonton.



"Mungkin, satu peratus," katanya merendah diri ketika ditanya sama ada dia mampu mengikut jejak langkah karier Ferguson yang gemilang.

"Ia adalah detik yang membanggakan bagi saya apabila dia melihat saya sedang melatih dan menguruskan pasukan saya dan saya juga gembira.

"Saya gembira walaupun sempat bercakap dengannya sebentar sahaja. Dia sihat, dia kelihatan hebat. Dia dalam keadaan baik, begitu juga keluarganya jadi seronok melihatnya.

"Mengetahui dia menonton saya di garisan tepi di Ibrox bagi saya adalah detik yang membanggakan."