Lionel Messi dan Neymar mengehadkan kejayaan Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) memandangkan mereka bukannya "pemain berpasukan", kata bekas pengurus Blaugrana, Louis van Gaal.

Messi dianggap sebagai salah seorang pemain terbilang sepanjang zaman sementara Neymar adalah pemain termahal dalam sejarah, namun Barca belum memenangi Liga Juara-Juara (UCL) sejak 2015.

PSG pula masih memburu gelaran pertama mereka.

Sehubungan itu, Van Gaal, yang pernah bertindak sebagai pengurus di Camp Nou dari 1997 hingga 2000 dan 2002 hingga 2003, percaya kedua-dua pemain tersebut harus bertanggungjawab atas kegagalan tersebut.

"Lihatlah Barcelona. Berapa banyakkah UCL yang telah mereka menangi walaupun diperkuatkan dengan pemain terbaik dunia?" soalnya kepada El Pais.

"Lihatlah Neymar di PSG, berapa banyak trofi UCL yang telah mereka menangi? Saya sukakan Neymar dan Messi sebagai pemain individu tetapi bukannya sebagai pemain berpasukan.

"Saya percaya dalam permainan berpasukan, tiada yang lebih penting selain daripada pemain yang mementingkan semangat berpasukan."

Mengulas lanjut, Van Gaal membandingkan Messi dan Neymar dengan pemain tengah serba boleh Liverpool, James Milner.

"Salah seorang pemain terbaik adalah James Milner," katanya. "Dalam perlawanan akhir UCL, dia bertindak sebagai pertahanan dan sebagai pemain tengah. Bagus sekali apa dia yang boleh ditawarkannya pada usia 33 tahun.

"Saya rasa Messi harus bertanya kepada diri sendiri, mengapakan sudah sekian lamanya dia tidak memenangi UCL.

"Saya tidak berada di dalam bilik persalinan ataupun latihan di Barcelona, jadi saya tidak menilainya.

"Saya sukakan Messi sebagai pemain individu dan dia adalah pemain individu terbaik di dunia atas statistik menakjubkannya, saya menyukainya.

"Namun, mengapa dia tidak memenangi UCL sejak lima tahun lalu? Sebagai ketua pasukan, anda harus bertanya kepada diri sendiri, mengapakah pasukan anda gagal menawan Eropah.

"Barca memiliki skuad yang luar biasa. Anda tidak boleh mengatakan pemain seperti (Ivan) Rakitic (Philippe), Coutinho merupakan pemain yang teruk mahupun atau (Marc-Andre) ter Stegen sebagai penjaga gol yang teruk, termasuk (Jordi) Alba, Arthur dan (Arturo) Vidal.

"Saya fikir Messi juga harus bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di Barcelona -- bukan setakat pengurus. Pemain mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap apa yang berlaku dalam pasukan."

Van Gaal tidak terlalu bimbang dengan laporan Neymar bersedia untuk menyertai Messi di Barca, malah beliau berasakan kapten Blaugrana itu diberi terlalu banyak kebebasan oleh jurulatihnya.

"Saya masih ingat lagi Neymar di Barca kerap menawarkan bantuan kepada Messi," kata bekas pengurus Manchester United itu.

"Saya bukannya mahu menjatuhkan Neymar. Dia seorang pemain yang hebat tetapi di PSG, dia tidak bermain untuk pasukan.

"Saya percaya setiap pemain perlu bermain demi pasukan -- begitu juga dengan Messi. (Barcelona) mempunyai 30 pemain dan saya fikir Messi perlu menyesuaikan diri dengan pasukan, bukan sebaliknya.

"(Pep) Guardiola menerapkan permainan berpasukan tetapi pengurus-pengurus kebelakangan ini telah menyesuaikan taktikal mereka dengan Messi dan bukannya melindungi semangat berpasukan. Padahal itulah aspek yang paling mustahak."

Mengulas mengenai kekalahan Barca kepada Liverpool dalam separuh akhir UCL, Van Gaal berkata: "Jika wujud semangat berpasukan sejati di peringkat tertinggi, keputusan seperti itu adalah tidak mustahil."

Mengenai PSG, beliau menambah: "Mereka tidak mempunyai semangat berpasukan yang tepat. Saya menonton ketika mereka mengalahkan Bayern 3-0 di Parc des Princes dalam Liga Juara-Juara pada 2017.

"Saya melihat tindak-tanduk mereka di padang: rakan sepasukan kelihatan tidak senang dengan gaya permainan Neymar. Mereka masih tidak gembira."