Virgil Van Dijk telah dipilih sebagai ketua pasukan yang baru buat skuad kebangsaan Belanda selepas disahkan oleh ketua jurulatih, Ronald Koeman.

Pertahanan tengah Liverpool itu muncul selaku bek termahal dunia dalam sejarah selepas melengkapkan perpindahan dari Southampton ke Anfield menerusi yuran perpindahan berjumlah GBP75 juta (RM414 juta) pada Januari lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu kini dinamakan sebagai pengganti buat bintang Bayern Munich, Arjen Robben, selepas pemain sayap itu mengumumkan persaraan daripada arena antarabangsa susulan kegagalan skuad Oranje melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2018.

"Ia adalah berita yang menggembirakan saya dan seluruh keluarga. Saya sangat berbesar hati dengan penghormatan yang diberi untuk mengetuai skuad kebangsaan," kata Van Dijk.

Sebagai pembantu kepada bekas pemain Celtic itu, Georginio Wijnaldum, Kevin Strootman dan Daley Blind telah dinamakan oleh Koeman.

"Ia adalah satu langkah yang baru buat Van Dijk. Pada usia yang tepat dan beraksi bersama kelab yang besar, dia mampu memikul tanggungjawab itu," ujar Koeman.