Virgil van Dijk akan menentukan penyertaannya dalam saingan Euro 2020, kata rakan sepasukannya di posisi pertahanan tengah skuad Belanda, Matthijs de Ligt.

Bintang Liverpool itu tidak pernah beraksi sejak Oktober lalu gara-gara kecederaan lutut jangka panjang susulan menerima terjahan keras daripada penjaga gol England dan Everton, Jordan Pickford.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, sentiasa mengingatkan bahawa dia masih berjaga-jaga untuk kembali menurunkan Van Dijk, yang menjalani sesi pemulihan di Dubai sebelum kembali ke Mereyside.

Masih tiada kepastian bahawa pemain berusia 29 tahun itu akan dapat kembali beraksi sebelum penamat musim ini dan penyertaannya dalam Euro 2020 juga masih menjadi tanda tanya.

Ketua jurulatih Belanda, Frank de Boer, berjanji akan menyediakan satu skuad mantap susulan kekalahan kepada Turki, Rabu lalu dan Van Dijk pula masih mempunyai tempoh lapan minggu untuk menjalani pemulihan penuh.

Pengendali skuad The Oranje itu mendakwa pasukannya tidak bergantung kepada bekas pemain Souhtampton dan Celtic berkenaan bagi kempen edisi kali ini.

De Ligt, bagaimanapun, tidak bersikap pesimis dan pertahanan Juventus itu mendedahkan bahawa Van Dijk sedang bersemangat tinggi dan akan kembali beraksi pada waktu yang tepat.

"Kami ada mesyuarat semalam, (Van Dijk) turut berada di sini," kata De Ligt.

"Dia kelihatan amat baik, dia kelihatan amat segar dan bebas. Sudah pasti saya tidak tahu bagaimana perasaannya secara fizikal, dia benar-benar tidak mahu meletakkan tekanan terhadap dirinya.

"Mindanya amat jelas dan dia melihat keadaannya dari hari ke hari. Dia tenang dan mahu melihat di mana tahapnya pada ketika Euro sudah hampir bermula. Saya fikir adalah penting untuk dia bertenang dan dapat pulih daripada kecederaannya tanpa sebarang tekanan daripada kami atau negara kami.

"Dia akan menentukan sama ada dia akan beraksi dalam Euro atau tidak. Jika dia berada di sana, dia akan berada di sana. Jika dia tidak dapat ke sana, pemain lain akan mengisi tempatnya. Tetapi semalam dia kelihatan amat baik," katanya.

A post shared by Virgil van Dijk (@virgilvandijk)