Giovanni van Bronckhorst kembali ke Ibrox selaku pengurus baru Rangers.

Bekas pemain kebangsaan Belanda itu akan menggantikan Steven Gerrard, yang memilih untuk meninggalkan pasukan juara Liga Perdana Scotland itu untuk menyertai Aston Villa minggu lalu.

Van Bronckhorst memenangi lima trofi sewaktu bergelar pemain pasukan gergasi Glasgow itu, termasuk dua kejuaraan liga.

Pengurus berusia 46 tahun itu pernah memacu Feyenoord menjuarai Eridivisie musim 2016-17 selain turut meraih dua kejuaraan Piala KNVB dan Perisai Johan Cruyff sebelum berpindah ke kelab Liga Super China, Guangzhou City, tahun lalu.

Bekas pemain Barcelona dan Arsenal itu akan mengambil alih Rangers sepenuhnya selepas diberikan permit kerja.

"Saya benar-benar gembira dapat pulang ke Rangers sebagai pengurus baru kelab ini," katanya dalam laman web rasmi kelab itu.

"Saya berasa amat bertuah kerana akan berkerja dengan skuad yang berada di posisi terbaik dan kebanyakannya berpengalaman bergelar juara.

"Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk sekali lagi bekerja di kelab bola sepak yang besar ini," katanya.