Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, melantik Marco van Basten sebagai ketua pembangunan teknikal untuk membantu 'melindungi' sukan berkenaan.

Van Basten akan memulakan khidmatnya minggu depan dan bekas pemain antarabangsa Belanda itu bertanggungjawab dalam semua bidang teknikal, daripada inovasi teknologi hinggalah kepada aspek pengadilan.

"Marco van Basten adalah bola sepak," kata Infantino.

"Dia merupakan aset hebat untuk FIFA, Van Basten mempunyai wawasan yang tinggi untuk bola sepak dan dia dilihat sebagai calon terbaik untuk mengambil alih jawatan tersebut.

"Kita perlu meraikan bola sepak, kita perlu melindungi bola sepak dan membangunkan bola sepak.

"Marco adalah seorang pakar yang hebat dan bukan hanya seorang legenda. Banyak yang dia boleh lakukan untuk bola sepak, untuk perlawanan dan di sekitar gelanggang di dunia," kata Infantino.

Bekas penyerang Ajax dan AC Milan berusia 51 tahun itu sebelum ini menjadi pembantu jurulatih skuad Belanda.

Bulan lalu, dia menyatakan persetujuannya untuk kekal bersama membantu jurulatih Belanda, Danny Blind, sehingga penghujung tahun ini."