Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, berwaspada dengan cabaran yang menunggu pasukannya tatkala dia mengakui tidak begitu arif tentang lawan dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, Olympique Lyon.

Pendahulu LaLiga itu mengelak daripada diundi bertemu Liverpool dalam undian semalam tetapi berdepan cabaran getir daripada Lyon yang hadir daripada Kumpulan F tanpa sebarang kekalahan.

Lyon mencipta sensasi apabila menewaskan Manchester City di Etihad, September lalu, dan meraih pendahuluan sebanyak dua kali dalam pertemuan kedua yang berakhir 2-2.

Valverde, yang mengemudi pasukannya selesa melepasi halangan Tottenham Hotspur dan Inter Milan di peringkat kumpulan, mengakui tidak pasti dengan kekuatan kelab Ligue 1 itu, namun tetap berwaspada.

"Sebenarnya, saya hanya tahu sedikit tentang mereka. Saya mempunyai idea mengenai beberapa pemain yang saya kenal tetapi kami harus bersedia," kata Valverde.

"Ia adalah pasukan yang mencabar City untuk menjuarai kumpulan sehingga aksi terakhir dan menewaskan mereka di tempat lawan.

"Ia bukti tentang kesukaran untuk menang dalam mana-mana perlawanan. Bukan hanya untuk kami tetapi semua pasukan.

"Saya dapat rasakan mereka pasukan yang berbahaya kerana mampu menyerang dengan baik, sangat pantas dan kami perlu berhati-hati.

"Kami mempunyai dua bulan untuk memperbaiki diri, mengenal pasti lawan dan beraksi dalam keadaan terbaik."

Barca, yang kini tiga mata mendahului di puncak LaLiga, menyasarkan untuk memadamkan rekod terkandas di peringkat suku akhir dalam tiga edisi Liga Juara-Juara.

Mereka akan berdepan Lyon di Perancis pada 19 Februari depan sebelum melayan kunjungan lawan pada bulan seterusnya.