Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, berkata pertemuan dengan seteru utama, Real Madrid, dalam separuh akhir Piala Raja Sepanyol membuatkan aksi Clasico itu kerap berlaku.

Madrid akan ke Camp Nou untuk aksi pertama separuh akhir Piala Raja Sepanyol awal pagi esok tatkala mereka tewas 5-1 dalam saingan LaLiga di tangan Barca, Oktober lalu.

Namun, Madrid kini berada dalam prestasi terbaik di bawah bimbingan Santiago Solari, memenangi lima aksi terakhir dalam semua kejohanan sambil Barca diikat 2-2 oleh Valencia sebelum ini.

Lionel Messi mengalami kecederaan paha dalam perlawanan itu selepas menyumbat dua gol untuk membantu pasukannya bangkit mengikat kedudukan dan Valverde menegaskan dia tidak akan merehatkan kaptennya itu kecuali dia membuktikan tahap kecergasan.

Messi terlepas aksi ketika Barca menang 5-1 Oktober lalu tatkala keputusan itu membawa kepada pemecatan ketua jurulatih Los Blancos, Julen Lopetegui, dan Valverde teruja dengan pertemuan awal pagi esok.

"Ia adalah pertambahan Clasico," kata Valverde.

"Sudah tentu ia satu perlawanan istimewa, separuh akhir berdepan pasukan besar.

"Ia menjadikannya lebih menarik dengan peluang untuk ke final dan mereka juga sama.

"Apabila kami melakukan persiapan, tentunya kami merujuk pemain yang beraksi ketika menang 5-1 tetapi kini lawan berada dalam semangat yang berbeza. Ia merupakan satu perbezaan besar.

"Madrid sering tampil sangat kuat di Camp Nou walaupun pertemuan terakhir menyaksikan kami lebih baik dan menang. Jelas sekali mereka kini lebih bagus. Semua akan melihat aksi terbaik Real Madrid esok kerana itu yang kami saksikan dalam beberapa perlawanan terakhir."

Separuh akhir berdepan Madrid menambah kerumitan jadual buat Barca tetapi Valverde berasa ia tidak boleh dijadikan alasan.

"Jadual sentiasa sukar setiap tahun bermula Januari dan memandangkan separuh akhir melibatkan dua pasukan besar, saingan liga serta Liga Juara-Juara Eropah akan bermula, kami perlu berhati-hati," tambah Valverde.

"Namun, kami masih belum mencapai prestasi terbaik musim ini. Kami perlu menggunakan kesemua pemain dan melihat jika perubahan perlu dilakukan esok. Kami akan berehat seminggu selepas ini, tiada aksi Liga Juara-Juara, jadi kami akan berehat."