Ernesto Valverde memuji sikap tidak putus asa Luis Suarez selepas penyerang itu melenyapkan kritikan menerusi jaringan ketika Barcelona menewaskan Getafe 2-0 dalam aksi LaLiga, awal pagi tadi.

Suarez menemui jaringan dalam babak pertama tatkala Barca yang beraksi dengan 10 pemain mencatat kemenangan pertama di tempat lawan musim ini.

Diejek ketika Barca menundukkan Villareal di laman sendiri minggu lalu, Suarez membalas kritikan dengan menjaringkan gol ketiga peribadi bagi saingan LaLiga musim ini, dengan melambungkan bola pada minit ke-41.

Pengurus Barca, Valverde, memuji aksi penyerang berusia 31 tahun itu yang telah melenyapkan kritikan terhadapnya.

"Penjaring gol sentiasa melakukannya tetapi kadangkala tidak berjaya. Namun, Suarez tidak berputus asa dan sentiasa berusaha mendapatkan hantaran jauh sebelum memberikan hasil," katanya.

Barca tewas dua dan seri satu perlawanan dalam tiga aksi awal musim ini sebelum menundukkan Getafe.

Keputusan itu menyaksikan mereka berada di tangga keempat liga, dua mata ketinggalan kepada pendahulu dan seteru utama, Real Madrid.

"Penting untuk kami elakkan kesilapan seperti yang dilakukan sebelum ini," tambah Valverde.

"Ia satu keperluan. Jaringan membuatkan kami lega dan daripada situ, kami memperbaiki persembahan. Kami tidak banyak melepaskan bola dan berpeluang menjaringkan gol.

"Jika anda mahu menjuarai LaLiga, anda perlu menang banyak perlawanan di tempat lawan dan bukan hanya di laman sendiri.

"Getafe adalah lawan yang sukar, sukar untuk datang ke sini dan bermain dengan baik. Kini, kami mempunyai tiga hari sebelum berdepan Inter Milan."

Barca turun ke Getafe tanpa Ousmane Dembele yang mengalami kecederaan paha dan dia belum pasti akan diturunkan menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Inter, Rabu ini.

"Memang saya ketepikannya daripada skuad hari ini," tambah Valverde.

"Ia sebagai langkah berjaga-jaga. Dia tenang. Saya rasa ia mengganggu aksi tetapi tiada apa yang serius."

Apabila ditanya sama ada Dembele akan beraksi menentang Inter, Valverde menjawab: "Saya tidak tahu. Saya harap ia tidak seperti itu tetapi tiada apa boleh saya katakan buat masa sekarang."