Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, memuji sifat berdaya saing Lionel Messi selepas dia menamakan bintang penyerang itu sebagai aset terbaik Barcelona.

Messi diiktiraf sebagai pemain terbaik sepanjang zaman dengan memiliki lima anugerah Ballon d'Or dan 32 kejuaraan dengan gergasi LaLiga itu.

Penyerang berusia 31 tahun itu -- yang juga penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Barca -- sedang menikmati satu lagi musim terbaiknya dengan pasukan itu selepas menjaringkan 21 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Daripada jaringan itu,15 hadir dalam saingan LaLiga.

Bercakap mengenai Messi kepada Barca TV, Valverde berkata: "Apa yang saya perlu tekankan tentang Leo adalah dia mempunyai sikap tanggungjawab yang tinggi terhadap pasukan.

"Dia memaparkan kualiti itu dalam setiap perlawanan.

"Apa yang dilakukannya itu amat sukar, namun dia mengulanginya dalam setiap perlawanan.

"Ia pasti memerlukan kekuatan mental yang tinggi untuk berada pada tahap itu.

"Saya tidak mengenali individu lain yang mempunyai kualiti berdaya saing seperti itu," katanya.

Barca kini memiliki kelebihan tiga mata di depan Atletico Madrid selaku pendahulu LaLiga.

Mereka akan berdepan Getafe hujung minggu ini.