GIRONA 0 BARCELONA 2

Ernesto Valverde memuji kreativiti dan karakter Philippe Coutinho selepas bergelut untuk menampilkan persembahan terbaik dalam kemenangan 2-0 Barcelona di Girona, awal pagi tadi.

Gol daripada Nelson Semedo dan Lionel Messi mengembalikan Barca dengan kelebihan lima mata di puncak LaLiga, namun Girona mencetuskan banyak masalah buat pelawat -- di sebalik Bernardo Espinosa dibuang padang pada minit ke-51.

Ia mungkin satu kemenangan yang lebih mudah sekiranya Coutinho menyempurnakan umpanan menarik Messi pada pertengahan babak pertama dan dia melepaskan peluang dalam situasi satu lawan satu dalam masa kecederaan.

Bekas tonggak Liverpool itu dilaporkan bergelut di Barca selepas setahun perpindahan meganya dan dia kini bukan lagi pilihan utama Valverde.

Bagaimanapun, pengurus itu menjelaskan bintang Brazil itu akan memiliki masa depan yang lebih baik.

"Apa yang saya suka tentangnya ialah dia sentiasa mencuba sesuatu dan gemar menggelecek," kata Valverde.

"Kadangkala ia menjadi atau mungkin tidak.

"Dia mempunyai peluang terhidang tetapi tidak bernasib baik kerana penjaga gol lawan beraksi tangkas.

"Dia akan memanfaatkan peluang lain tidak lama lagi."

Valverde kemudian secara khusus memuji rakan senegara Coutinho, Arthur, selepas pemain tengah itu memberi Barcelona kawalan yang sangat diperlukan sebaik dimasukkan pada minit ke-58 bagi menggantikan Arturo Vidal.

"Kami mengalami kesukaran kerana lawan memberi tekanan tinggi dan kami tidak dapat meneruskannya dalam detik-detik tertentu," jelasnya.

"Kami kehilangan penguasaan bola dan ia membuka peluang buat Girona.

"Apabila Arthur diturunkan, dia ada keupayaan untuk mengekalkan bola.

"Selain itu, mereka bertahan dengan 10 pemain dan mengenakan kawalan permainan untuk mencari ruang.

"Pada akhirnya, kami memiliki lebih banyak peluang dan mengesahkannya."