Federico Valverde dinamakan sebagai pemain paling bernilai (MVP) dalam final Piala Super Sepanyol di Jeddah, Arab Saudi awal pagi tadi walaupun dilayangkan kad merah pada penghujung masa tambahan.

Dengan 10 pemain, Madrid menewaskan seteru setempat, Atletico Madrid, dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan dalam masa sebenar.

Bekas pemain Madrid, Alvaro Morata, hampir menjadi wira Atletico pada minit ke-115 jika Valverde tidak mengambil tindakan nekad untuk melakukan terjahan dari belakang dan menjatuhkan pemain itu.

Kem Atletico berang dengan situasi itu dan perasaan itu pasti semakin membuak-buak apabila penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois, menyelamatkan sepakan penalti Thomas Partey.

Madrid memenangi penentuan penalti itu 4-1 dan Valverde diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Bercakap kepada wartawan selepas menerima anugerah itu, dia memohon maaf secara terbuka.

"Saya memohon maaf kepada Alvaro Morata.

"Saya sedar apa yang saya lakukan itu tidak baik tetapi saya tiada pilihan lain," katanya.

Valverde, yang memaparkan ketekalan bersama Madrid sepanjang musim ini, menambah: "Saya amat gembira. Ia satu sebab anda berlatih, anda berusaha, anda berjuang untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Ia berjalan dengan amat baik.

"Saya mendapatkan minit di atas padang, bermain dan pasukan kami menang.

"Ia amat hebat. Saya menikmati setiap minit dalam hidup saya. Ia sesuatu yang luar biasa.

"Selain memenangi kejuaraan bersama pasukan, saya juga akan menjadi bapa.

"Banyak perkara positif berlaku dan saya mencuba untuk memberikan yang terbaik dan menikmatinya," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa