Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, gembira kerana dapat menjarakkan kedudukan dengan Real Madrid awal dalam saingan LaLiga selepas meraih kemenangan 5-0 ke atas Espanyol.

Jaringan hatrik daripada Lionel Messi serta gol daripada Gerard Pique dan Luis Suarez memastikan permulaan sempurna Barca dalam saingan liga.

Keputusan itu menyaksikan kemenangan ketiga buat mereka yang menduduki tangga teratas dengan kelebihan empat mata ke atas Real yang sekali lagi melakar keputusan seri.

Valverde berkata beliau gembira kerana berada di hadapan musuh tradisi mereka pada peringkat awal musim ini.

"Jarak tidak membezakan apa-apa, tetapi ia lebih baik berada di hadapan daripada di belakang," katanya.

Ousmane Dembele membuat penampilan sulung dari bangku simpanan, melakukan umpanan untuk Suarez melengkapkan kemenangan di Nou Camp.

Valverde berpuas hati dengan persembahan pemain kebangsaan Perancis itu, yang tiba dari Borussia Dortmund, bulan lalu.

"Saya benar-benar gembira dengan persembahannya. Kami berharap Dembele segera mencari keserasian dalam pasukan ini."