Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele perlu menyesuaikan diri dengan corak sedia ada yang diterapkan Barcelona selepas pengendali, Ernesto Valverde, tidak bercadang untuk melakukan perubahan selepas kehadiran dua pemain tersebut.

Dembele kini telah pulih daripada kecederaan paha selama tiga bulan sementara Coutinho terpaksa menunggu sehingga kecederaan yang sedang dialaminya pulih untuk melakukan penampilan sulung bersama Barca.

Barcelona masih belum tewas dalam semua kejohanan sejak kalah dalam aksi Piala Super Sepanyol di tangan Real Madrid pada Ogos tahun lalu, sekaligus menimbulkan persoalan bagaimana kedua-dua pemain itu akan menyesuaikan diri.

Musim ini, Valverde lebih banyak menggunakan formasi 4-4-2 dengan meletakkan empat pemain secara rata di barisan tengah di belakang Lionel Messi dan Luis Suarez sementara Coutinho dan Dembele lebih cenderung dengan corak 4-3-3.

"Coutinho masih belum boleh beraksi, Dembele boleh bermain di bahagian kiri dan kanan tetapi perubahan kecil tidak akan memberikan banyak kesan kepada pasukan.

"Kami berasakan Coutinho mampu membantu kami kerana setiap pemain membawa pembaharuan yang berlainan buat skuad. Dia boleh melakukan percubaan dan menjaringkan gol.

"Menjadi tugas jurulatih untuk bercakap tentang pasukan. Kami bersaing dalam tiga kejohanan, bersama pasukan terbaik di dunia dan sentiasa mahu membuat penyokong gembira," kata Valverde.

Barcelona bakal bertemu Celta Vigo dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Raja Sepanyol dan Valverde menjangkakan laluan sukar bakal diberikan oleh pasukan yang dikendalikan oleh bekas jurulatih penjaga gol serta pembantu Luis Enrique di Camp Nou, Juan Carlos Unzue.

"Saya masih belum memenangi kejuaraan ini, jadi memang berhasrat untuk menjuarainya.

"Saya beraksi dalam final dan tewas di tangan Barcelona. Kami akan turun untuk memenangi aksi kali ini dan ia sangat penting," tambahnya.