Pengurus Valencia, Gennaro Gattuso, mendedahkan Goncalo Guedes hampir pasti berkelana ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas diketepikan daripada skuad Los Che dalam kemenangan persahabatan ke atas Atalanta, awal pagi tadi.

Guedes tidak muncul ketika anak buah Gattuso itu melengkapkan persiapan pra-musim mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas kelab Serie A berkenaan menjelang aksi pembukaan LaLiga menentang Girona, hujung minggu depan.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang mempunyai 32 penampilan senior bersama Portugal, pernah dikaitkan dengan perpindahan ke England dan Wolves kendalian Bruno Lage disebut-sebut oleh akhbar Sepanyol sedang memantaunya.

Ketika ditanya mengenai situasi penyerang itu selepas kemenangan Valencia, Gattuso berkata tawaran daripada EPL yang tidak dinamakan terbukti terlalu bagus untuk ditolak dan mereka berhasrat melabur keuntungan tersebut sekiranya Guedes pergi.

“Siang tadi (Pengarah Sukan Valencia) Miguel Corona menelefon saya dan menerangkan keadaannya kepada saya,” katanya.



"Sebuah kelab Inggeris telah membuat tawaran rasmi yang lumayan. Saya tidak tahu angka sebenarnya tetapi pada masa ini kami perlu menerimanya.

"Kami akan melakukan apa sahaja untuk menambah baik pasukan. Kelab tahu apa yang kami perlukan untuk melengkapkan pasukan.

"Saya menjangkakan pembelian baru tetapi saya tidak bercakap mengenai sebarang posisi. Saya menjangkakan dua, tiga pemain."