Valencia telah memecat Javi Garcia daripada jawatan ketua jurulatih pasukan utama.

Pemecatan itu tiba susulan kekalahan 3-2 di tangan Barcelona semalam, yang menyaksikan rekod buruk tanpa kemenangan mereka berlarutan kepada enam perlawanan LaLiga.

Valencia mendahului dalam perlawanan itu menerusi Gabriel Paulista tetapi dua gol Lionel Messi yang mengapit jaringan Antoine Griezmann kembali meletakkan Barca di depan sebelum Carlos Soler merapatkan kedudukan.

Mereka berkemungkinan tidak akan tersingkir tetapi perlu melakukan sesuatu memandang hanya dibezakan enam mata daripada zon penyingkiran berbaki empat perlawanan.

Voro akan kembali memainkan peranan sebagai jurulatih sementara buat kali ketiga selepas turut pernah diberikan peranan secara tetap dalam musim 2016-17.

Gracia, yang baru dilantik pada Julai lalu, merekodkan peratusan kemenangan 25.53 peratus dalam liga, rekod terburuk buat jurulatih tetap Valencia sejak Cesare Prandelli meletakkan jawatan hanya selepas lapan perlawanan LaLiga dalam musim 2016 dengan cuma satu kemenangan (12.5 peratus).

Valencia akan melayani kunjungan Real Valladolid dalam perlawanan penting kelompok bawahan di Mestalla hujung minggu ini.