Valencia pecat Celades gara-gara rekod buruk

Muzaffar Musa
Jun 30, 2020 05:10 MYT
Valencia memecat ketua jurulatihnya, Albert Celades, berkuat kuasa serta-merta selepas mencatatkan rekod buruk musim ini.
Penolong jurulatih, Voro, akan mengambil alih tugas membimbing pasukan utama secara sementara sehingga penghujung LaLiga musim 2019-20.
Valencia hanya memenangi satu daripada lima perlawanan sejak liga itu bersambung -- dihentikan sementara berikutan pandemik koronavirus -- dan hanya memenangi satu daripada 19 perlawanan terakhir di laman lawan dalam kesemua kejohanan.
Celades, yang menggantikan Marcelino pada September lalu, meninggalkan kelab itu di tangga kelapan LaLiga dengan dibezakan lapan mata daripada slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Dalam satu kenyataan, Valencia berkata: "Valencia telah menghubungi Albert Celades mengenai penyingkirannya daripada jawatan ketua jurulatih pasukan utama berkuat kuasa serta-merta.
"Kelab ini mahu mengucapkan terima kasih secara terbuka di atas usaha dan dedikasinya sepanjang berada di kelab ini -- satu tempoh di mana kami layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan kemenangan penting di tempat yang tidak pernah kami menangi sebelumnya.
"Kelab ini juga menghargai setiap sumbangannya sejak dia mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pasukan utama pada waktu yang sukar, dan mendoakan kejayaan bagi masa depannya."
Valencia seterusnya akan berdepan Athletic Bilbao dalam perlawanan LaLiga di Mestalla.
#Valencia #LaLiga #Albert Celades