Usain Bolt gembira menyumbat jaringan pertamanya untuk Central Coast Mariners dan kini berharap ditawarkan kontrak selepas membintangi kemenangan 4-0 ke atas Macarthur South West United, semalam.

Juara lapan kali Sukan Olimpik itu diberikan permulaan di Sydney dan menyumbangkan jaringan berganda dalam separuh masa kedua, termasuk penyudah kemas kaki kiri untuk gol sulungnya.

Prestasinya dalam percubaan bersama kelab Liga-A itu, yang akan membuka musim barunya esok, mendapat reaksi bercampur-baur tetapi jaguh Jamaica itu percaya dia telah menunjukkan banyak peningkatan dalam permainannya.

Menyorot pertunjukannya selepas digantikan lewat dalam permainan, Bolt memberitahu Fox Sports: “Ia adalah perlawanan sebenar pertama saya bersama pasukan pertama. Saya gembira diberikan peluang dan bangga dengan diri saya sendiri.

“Ia sesuatu yang hebat. Saya fikir menjaringkan gol dalam perlawanan sebenar pertama anda adalah sesuatu yang hebat. Permulaan pertama anda dan menjaringkan dua gol, ia satu perasaan yang indah.

“Inilah sesuatu yang saya usahakan. Saya cuba meningkatkan diri, cuba menjadi lebih baik dan saya dalam perjalanan untuk melakukan itu.”

Bolt terlepas beberapa peluang sebelum jaringannya pada minit ke-55 itu dan mendedahkan kata-kata semangat jurulatih, Mike Mulvey, membantunya mengekalkan fokus.

“Jurulatih berkata kepada saya, ‘Dengar sini, anda akan mendapat peluang, terlepas beberapa dan anda akan menjaringkan satu atau dua gol. Yakinkan diri dan cuba untuk yang berikutnya,” kata bekas atlet pecut berusia 32 tahun itu.

“Lebih banyak anda bermain, lebih banyak anda belajar dan anda akan lebih membiasakan diri dengan permainan. Saya banyak belajar.

“Saya telah meningkat dalam setiap bahagian. Saya fikir sentuhan saya lebih baik sedikit, berlari tanpa bola adalah bahagian yang saya paling meningkat. Saya hanya perlu terus belajar dan menjadi lebih baik,” tambahnya.

Ditanya langkah berikutnya untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional, Bolt berkata: “Kini perbincangan akan dibangkitkan kerana musim baru akan bermula minggu depan.

“Saya akan berbincang dengan jurulatih, pengurusan, apa perancangannya dan sama ada mereka akan menandatangani saya.

“Saya memang berminat, sebab itu saya berada di sini – untuk bermain yang terbaik dan cuba untuk terpilih dalam pasukan.”