Antonio Conte sememangnya layak untuk digelar antara pengurus terbaik dalam kancah bola sepak masa kini.

Sejak ketibaannya untuk mengendalikan Tottenham Hotspur pada bulan November 2021, dia telah mengubah nasib The Lilywhites daripada menjadi pasukan belasahan dan memungut 21 daripada 30 mata yang dipertandingkan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun, selepas kekalahan 2-0 kepada Chelsea semalam -- kekalahan pertama Conte dalam liga dan juga kekalahan ketiga berturut-turut di tangan pasukan yang sama -- tidak hairanlah beliau pulang ke bilik persalinan dengan dahi yang berkerut dan dikhabarkan merungut tentang jurang perbezaan kemampuan pemainnya dengan pasukan lawan.

Dalam temu bual pasca perlawanan bersama Sky Sports, Conte dipetik sebagai berkata: "Ketika ini, jurang perbezaan pasukan kami dengan Chelsea serta pasukan-pasukan kuat yang lain cukup ketara.

"Sebelum ketibaan saya, tidak ada satu pun jendela perpindahan yang digunakan untuk membeli pemain bersesuaian demi merapatkan jurang ini.

"Bukan mudah untuk kami menyelesaikan masalah ini dalam masa yang singkat, jadi saya harus menumpukan perhatian untuk terus membentuk pemain yang sedia ada ketika ini.

"Hakikatnya, sebelum ketibaan saya, pasukan ini tidak berkembang maju, malah berterusan merosot.

"Proses pemulihan ini akan mengambil masa bertahun-tahun, tetapi kami harus memulakannya dari sekarang."



Kata-kata Conte disokong kuat oleh bekas pemain Liverpool, Jamie Redknapp.

"Conte telah melaksanakan tugasnya dengan cukup baik sekali untuk Tottenham sampai ke tahap ini.

"Namun, sekarang dia teramat memerlukan pemain baru. Bukan seorang dua tetapi mungkin empat sekurang-kurangnya.

"Saya fikir dia seharusnya sudah ada perjanjian dengan pengerusi Tottenham, Daniel Levy, tentang aspek pembelian pemain baru sejak dari awal lagi.

"Jika Conte tidak mendapat pemain yang dia inginkan, saya khuatir Spurs mungkin kehilangan khidmatnya.

"Jangan lupa, punca utama dia meninggalkan Inter Milan adalah gara-gara janji yang tidak ditepati."

Menurut laman sesawang Marca, pemain sayap Wolverhampton Wanderers, Adama Traore, yang mampu untuk bermain di posisi sayap kanan atau bek kanan, merupakan antara sasaran utama Conte.

Kepantasan dan kekuatan Traore mampu untuk melicinkan transisi pertahanan kepada serangan yang merupakan salah satu strategi utama Conte.

Selain itu, Conte juga dikhabarkan mahu bersatu kembali dengan pemain pertahanan tengah yang bersama dengannya sewaktu bersama Inter -- Stefan de Vrij atau Alessandro Bastoni.

Sementara itu, dua pemain tengah Spurs, Delle Alli dan Tanguy Ndombele, diramalkan bakal menuju ke arah pintu keluar gara-gara gagal untuk menarik perhatian Conte dan dilabelkan tidak cukup mantap untuk berada dalam kesebelasan utama.

Biarpun berada di tangga ketujuh liga ketika ini, Spurs hanya berbeza dua mata dengan Manchester United yang menduduki tangga keempat.



Benar seperti yang dikatakan oleh Conte, sejak bermusim-musim lalu, Spurs tidak pernah membawa masuk seorang pun pemain yang boleh memantapkan pasukan.

Jendela-jendela perpindahan yang melibatkan Spurs sebelum ini cuma dipenuhi dengan drama tentang mengekalkan Harry Kane yang merupakan ayam tambatan mereka.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa jendela perpindahan yang akan datang bakal menentukan masa depan Spurs.

Jika pemain yang bersesuaian diperolehi, kekuatan mereka mungkin meningkat berlipat ganda.

Jika gagal, bukan sahaja pasukan mereka akan kekal di tahap yang sama, malah pengurus sehebat Conte pun mungkin akan terlepas daripada genggaman.