Carles Puyol percaya Barcelona mampu mencipta sejarah Liga Juara-Juara dengan mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) untuk mara ke suku akhir, dengan memadam defisit 4-0 hasil pertemuan pertama mereka.

Angel Di Maria menggegar gawang sebanyak dua kali manakala Julian Draxler dan Edinson Cavani melengkapkan kemenangan bergaya anak buah Unai Emery untuk memalukan Lionel Messi dan rakan-rakannya di Parc des Princes.

Belum pernah ada pasukan yang mampu mengatasi defisit gol tersebut dalam kancah Liga Juara-Juara. Justeru, Barca dianggap berdepan tugas menggunung untuk mengatasi halangan tersebut.

Sehubungan itu, mereka dikecam teruk dalam aksi di Nou Camp ketika berhempas pulas membenam Leganes 2-1, Ahad lalu.

Begitupun, Puyol -- yang menjuarai Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali -- percaya harapan mereka masih lagi bernyala.

"Inilah masanya untuk Barca mempamerkan keteguhan sebagai sebuah pasukan," kata Puyol kepada pemberita.

"Dengan sikap bersatu, mereka mampu mengharungi situasi ini. Kita tahu keputusan di Paris sangat menyakitkan tetapi kalau ada pasukan yang mampu melakukannya, ia adalah Barca.

"Ia keputusan yang sukar tapi tidak mustahil. Pasukan ini telah mencapai banyak kejayaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan berhak untuk mendapat kepercayaan dari serata dunia.

"Saya akan berdiri teguh bersama mereka sampai mati, bukan sahaja kerana meraka adalah sahabat saya tetapi juga kerana di Barca, kami semua adalah sepakat.

"Kami tidak boleh berasa sangsi. Kami perlu berjuang hingga saat akhir."