Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menegaskan adalah silap untuk mengkritik etika kerja Cristiano Ronaldo apabila dia mempertahankan bintang The Red Devils itu.

Ronaldo sekali lagi menjadi wira dalam kemenangan 3-2 di Liga Juara-Juara ke atas Atalanta, Rabu lalu, walaupun ketinggalan 0-2 dalam separuh masa pertama.

Pemenang lima Ballon d'Or itu telah menyumbat enam gol dalam lapan perlawanan sejak kembali ke United dari Juventus walaupun timbul beberapa persoalan terhadap kelibat pemain berusia 36 tahun tersebut di sebalik prestasi terumbang-ambing kelabnya.

Ronaldo dikritik kerana tidak bekerja keras atau banyak bertahan menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Liverpool di laman sendiri, malam esok, tetapi Solskjaer bertindak melindungi tomahan terhadap penjaring terbanyak di peringkat antarabangsa itu.

"Pertama sekali, dia masih cukup cergas untuk melakukannya. Tetapi dia telah terlibat dalam perlawanan sebanyak 500 kali," kata Solskjaer kepada Sky Sports.

"Dia sudah berkali-kali berada dalam situasi ini dan salah satunya: 'Saya tahu apa yang akan dilakukan (rakan sepasukan, Luke Shaw), saya tahu di mana saya perlu berada dan masih mampu melakukannya'. Itulah kunci kejayaannya.

"Dia mengubah posisinya sebagai penyerang sayap menjadi penyerang tengah memandang dia tahu bagaimana untuk menjaringkan gol, dia ingin menyumbangkan gol. Ketika kali pertama dia datang, dengan segala kemahiran gelecekan serta kelincahannya, dia amat dahagakan kejayaan dan dia masih begitu.

"Dia melakukan apa yang harus dilakukan setiap pemain sepanjang kariernya, iaitu terus berkembang."






Solskjaer menambah: "Ketika Cristiano tiba, dia tidak menjalani pra-musim yang sempurna di Juventus dan anda boleh lihat secara beransur-ansur dia semakin cergas.

"Sekarang dia berasakan: 'Saya menuju ke tahap yang saya tahu saya mampu capai'. Rabu lalu, fokus, usaha fizikal dan lariannya merupakan daya pecutan tertinggi dan terpanjang.

"Saya bercakap tentang seorang pemain yang banyak berlari, dia bekerja keras. Sekiranya orang ingin mengkritik etika kerjanya, itu benar-benar satu kesilapan. Anda perlu melihat gerakannya yang sememangnya harus dilakukan seorang penyerang tengah.

"Dia melakukan tugas yang kami tuntut demi sebagai sebuah pasukan. Sudah tentu, apabila mempunyai pemain sepertinya, kami harus mendapatkan yang terbaik daripadanya. Tetapi dia tahu dia adalah bahagian daripada pasukan dan dia bertindak cemerlang."