Ketua jurulatih Sang Badak, Steve Vilmiaire, tidak mahu pemainnya terlalu memikirkan pertemuan dengan Negeri Sembilan (NS) dalam aksi suku akhir Piala FA yang dijangka berlangsung, hujung bulan ini.

Sebaliknya, pengendali berusia 32 tahun itu mahu pasukannya fokus terhadap aksi liga bertemu MISC-MIFA di gelanggang lawan, Rabu depan.

"Apa yang kami utamakan ketika ini ialah perlawanan liga bertemu MISC-MIFA, ia lebih penting kerana bagi saya, kejayaan dalam Piala FA hanyalah satu bonus buat pasukan," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Skuad negeri di bawah bayu itu diundi bertemu NS dalam aksi suku akhir Piala FA secara timbal balik selepas undian dilakukan, pagi tadi.

Sementara itu, Vilmiaire ketika mengulas mengenai undian suku akhir Piala FA berkenaan, berkata ia satu lagi cabaran yang sukar, namun menegaskan tiada apa yang mustahil dalam bola sepak.

"Ia (undian suku akhir Piala FA) sukar, kami mungkin berdepan laluan sukar untuk ke separuh akhir tetapi tiada apa yang mustahil dalam bola sepak.

"Kami bukan pilihan dalam pertemuan ini (bertemu NS), ia terpulang kepada kami untuk membuat kejutan," katanya.

Beliau berkata NS adalah sebuah pasukan yang kuat dan dan memiliki pemain berpengalaman.

"Mereka (NS) juga belum pernah kalah dalam saingan liga setakat ini, kami perlu ambil peluang dalam aksi suku akhir pertama di (Stadium) Likas kerana pusingan kedua nanti, kami tidak akan berpeluang.

"Perlawanan bertemu NS ini juga tidak akan sama seperti pertemuan pertama kami dalam aksi pembukaan liga sebelum ini. Kami tahu pasukan ini, kami tahu cara mereka bermain," katanya.

Dalam saingan liga 20 Januari lalu, Sang Badak tewas 0-3 kepada Negeri Sembilan di Paroi.

Dalam perkembangan lain, Vilmiaire berkata Sabah sepatutnya mampu memperoleh lebih banyak gol ketika membenam MOF FC dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Likas, malam tadi.

Katanya, beberapa peluang baik yang dimiliki anak buahnya gagal diterjemahkan kepada gol sehingga menyaksikan mereka terpaksa 'mengesahkan' kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan.

"Kita lihat bahagian serangan kami mula memberi impak positif apabila berjaya menjaringkan empat gol, namun kami mencipta banyak peluang yang sepatutnya diterjemahkan kepada gol dan kami sebenarnya mampu 'membunuh' perlawanan ini lebih awal," katanya.