Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) jadi pilihan Perak untuk menjalani latihan berteraskan gelembung sukan.

Itu perancangan Perak sebaik pengumuman kebenaran untuk pasukan bola sepak Malaysia menjalani latihan bagi persediaan Liga Malaysia 2021 bersambung Isnin ini.

Perak nampaknya memiliki perancangan tersendiri di mana ia akan diterjemah secepat mungkin sebaik mendapat lampu hijau.

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, melahirkan kelegaan dengan kebenaran pihak kerajaan untuk latihan bola sepak kembali bersambung.

Apa yang pasti Perak mempunyai rancangan untuk meletakkan pasukannya dalam kem kuarantin yang akan berpengkalan di UPSI.

"Kami cuba memasuki kem latihan dan memastikan semua pemain berada di satu tempat namun kami masih lagi menunggu perkhabaran yang positif," kata Durakovic.

Merujuk kepada perkembangan terkini dari kerajaan Malaysia, Durakovic yakin Perak mampu memastikan persediaan terbaik menjelang saingan Liga Malaysia yang akan bermula 5 Mac depan.

"Ini adalah perkembangan yang positif. Saya sangat menunggu saat ini bagi memastikan setiap pemain dapat menjalani latihan dengan lebih lengkap."