UNL: Switzerland kuarantin skuad Ukraine, perlawanan gagal diteruskan

Shaiful Shamsudin
November 17, 2020 23:23 MYT
Perlawanan Liga Negara-Negara (UNL) di antara Ukraine dan Switzerland ditangguhkan selepas pelawat diarahkan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan supaya menjalani kuarantin selepas dikaitkan beberapa kes COVID-19.
Perlawanan Kumpulan A4 di Lucerne awal pagi esok dalam keraguan selepas pegawai kesihatan wilayah Switzerland mengumumkan tindakan mereka itu ke atas Ukraine.
Tiga pemain Ukraine diuji positif pandemik itu kelmarin sementara empat lagi kes positif diumumkan semalam termasuk Ruslan Malinovskiy, Sergei Kryvtsov, Junior Moraes dan seorang anggota anggota kejurulatihan.
Kryvtsov dan Moraes telah terbukti positif COVID-19 tetapi mempunyai antibodi dalam sistem badan mereka yang boleh mencegah jangkitan semula, kata Persatuan Bolasepak Ukraine (UAF).
Pegawai akhbar Ukraine, Oleksandr Hlyvynskyi, berkata dalam satu kenyataan: "Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) memaklumkan kepada UAF bahawa berdasarkan langkah Jabatan Kesihatan Canton Lucerne mengkuarantin seluruh pasukan kebangsaan Ukraine, perlawanan UNL membabitkan Switzerland dan Ukraine tidak boleh dilangsungkan'.
"UEFA, UAF dan Persatuan Bolasepak Switzerland sudah bersedia untuk beraksi tetapi larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan telah membatalkan semua hasrat organisasi bola sepak untuk meneruskan perlawanan ini.
"Masa depan perlawanan ini akan diputuskan oleh UEFA."

+++ Update +++ Das Spiel der UEFA Nations League zwischen der Schweiz und der Ukraine findet *nicht* statt. Das unter Quarantäne gestellte ukrainische Team wird kein Ersatzteam stellen können. Über die Wertung entscheidet die @UEFA #SUIUKR # #UEFANationsLeague

— ?? Nati (@SFV_ASF) November 17, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
FA Switzerland juga mengesahkan perlawanan tidak akan diadakan dengan memberi alasan Ukraine tidak dapat menurunkan pasukan gantian untuk pertemuan tersebut.
Ukraine menduduki tangga ketiga kumpulan menjelang perlawanan terakhir sementara Switzerland gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan untuk menduduki tempat tercorot dengan mengumpul tiga mata.
Pertembungan Norway dengan Romania hujung minggu lalu juga dibatalkan selepas pihak berkuasa kesihatan Norway melarang pasukan itu bertolak kerana membabitkan kes positif COVID-19.
#Switzerland #Ukraine #. #Covid-19 #UNL