Roberto Mancini menegaskan bahawa Itali harus terus membaiki prestasi mereka menjelang pertembungan separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL) dengan Sepanyol biarpun Azzurri masih segar memenangi Euro 2020, Julai lalu.

Itali belum tumbang dalam 37 perlawanan terakhir yang juga merupakan rekod dunia menerusi 30 kemenangan dan tujuh seri termasuk perlawanan persahabatan sejak Oktober 2018.

Pasukan bimbingan Mancini itu mengungguli Sepanyol dalam penentuan penalti separuh akhir kejohanan benua berkenaan selepas terikat 1-1 dalam perlawanan yang didominasi Sepanyol tersebut apabila menikmati 71 peratus penguasaan.

Bekas pengurus Manchester City dan Inter itu yakin La Roja tetap sebuah pasukan unggul daripada segi penguasaan bola sambil berasakan pasukannya masih mampu menjadi lebih baik lagi dalam aspek tersebut.

"Kami menderita (dalam separuh akhir Euro 2020 menentang Sepanyol)," katanya.

"Sepanyol mencetuskan masalah buat kami, mereka telah melakukannya selama 20 tahun dan dalam soal ini mereka mendahului kami.

"Kami harus memperbaiki permainan, menjadi lebih pantas. Kami harus tingkatkan prestasi, kami juga mempunyai pemain muda yang harus memainkan peranan dalam pertemuan penting. Kami mempunyai 14 bulan yang mustahak dan kami harus beraksi lebih baik dan ampuh, menyerang dan seimbang.

"UNL adalah satu kejohanan yang penting. Ia berlangsung selepas kejuaraan Eropah dan untuk membuat persiapan dalam waktu yang singkat bukan mudah tetapi ia adalah dua perlawanan di antara empat pasukan terbaik Eropah jadi kami ingin meningkat, itu sudah pasti. "





Mancini juga membalas tanggapan Luis Enrique bahawa lambat-laun rekod kebal Azzurri akan berakhir dan ia dipersetujui oleh rakan sejawatnya itu.

"Kami sentiasa mahu menang, jadi kami sedar ia akan bergantung kepada kami sendiri," tambahnya.

"Apa yang diperkatakan Enrique adalah betul, cepat atau lambat (kami akan kalah jua). Kami ingin terus seperti ini hingga Disember 2022, tetapi kami tahu ia tidak semudah itu."

Sekiranya Itali sekali lagi mengalahkan Sepanyol pada awal pagi esok, maka mereka akan berdepan sama ada Belgium atau Perancis dalam final UNL di San Siro pada 11 Oktober depan.