Raphael Varane menuntut Perancis agar menemukan kembali rentak sebagai juara Piala Dunia ketika bersedia menghadapi Belgium dalam separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi esok.

Varane memenangi Piala Dunia 2018 bersama Les Bleus dan turut menjadi sebahagian daripada kekecewaan dalam Euro 2020 yang menyaksikan mereka disingkirkan Switzerland di peringkat 16.

Prestasi Perancis sepanjang 2021 merangkumi lima aksi seri berturut-turut, kali pertama Les Bleus mencatat keputusan sedemikian sebelum mencetak kemenangan 2-0 ke atas Finland dalam aksi terakhir.

Pasukan kendalian Didier Deschamps itu, bagaimanapun, belum tumpas dalam enam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 -- pertama kalinya mereka mencapai prestasi sebegitu dalam kempen kelayakan kejohanan besar sejak 2006.

Justeru, Varane menggesa skuad kebangsaannya supaya menggunakan kemenangan atas Finland itu sebagai azimat pertembungan UNL dengan pemenangnya bakal menghadapi Sepanyol atau Itali dalam final di San Siro, awal pagi Isnin depan.

"Kami menamatkan perlawanan terakhir dengan sangat baik," kata bek tengah Manchester United itu kepada wartawan dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Kami memerlukannya demi menghidupkan kembali dinamik pasukan, mendapatkan semula kepercayaan itu. Ketika kami mencatat keputusan seri, mungkin kami terlebih yakin tetapi ia adalah sesuatu yang berbahaya di peringkat tinggi.

"Kami mesti membinanya semula untuk terus mengekalkan dinamik positif ini selain mendapatkan momentum baru menerusi kejayaan yang lebih besar.

"Segala kualiti ada dalam kumpulan ini. Terserah kepada kami sendiri untuk membangkitkan keyakinan dan kejayaan yang membolehkan kami menjadi juara dunia.

"Kami sedar tenaga seperti ini dan kadang-kadang kegilaan kecil ini amat diperlukan dalam usaha menjayakannya."




Varane melaporkan diri untuk kem Perancis di samping adik-beradik Hernandez, Lucas dan Theo, yang berpeluang membarisi pertahanan ketika menentang Belgium.

Pasangan itu yang bersama-sama muncul dalam sidang akhbar memberi jaminan bahawa sesiapa sahaja yang memulakan perlawanan pasti akan memberikan yang terbaik bagi memastikan pasukan mereka berada dalam final, Isnin depan.

"Kami bersaudara tetapi di atas padang, kami adalah rakan kongsi," kata Lucas Hernandez.

"Apa yang paling penting ialah semua orang mahu menang. Ini adalah satu detik yang istimewa.

"Sebaik perlawanan dimulakan, kami tidak pasti siapa yang akan diturunkan tetapi kami akan tetap bersatu, kami akan saling memberi nasihat. Kami semua menuju ke arah yang sama."

Theo Hernandez turut menyuarakan sentimen abangnya itu sambil menambah: "Kami akan saling membantu. Tiada masalah sama ada saya atau Lucas yang akan beraksi. Yang lain juga akan selalu ada untuk membantunya sepanjang masa."