PERANCIS 0 CROATIA 1

Perancis sah tidak akan dapat mempertahankan gelaran Liga Negara-Negara Eropah (UNL) selepas tewas 0-1 kepada Croatia di laman sendiri awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Didier Deschamps itu gagal memperoleh kemenangan sepanjang tiga perlawanan pertama Kumpulan A1 sepanjang bulan ini, di mana mereka tewas sekali dan seri dua kali sebelum tumbang di tangan Croatia di Stade de France.

Perancis terbukti bergelut dengan prestasi sendiri dan memberikan Croatia sepakan penalti awal yang disudahkan Luka Modric pada minit kelima.

Tuan rumah mempamerkan aksi terbaik mereka tetapi setiap gerakan itu kelihatan kurang lancar dan peluang terbaik juga gagal dihasilkan.

Ibrahima Konate kemudian didapati bersalah menjatuhkan Ante Budimir dan selepas semakan panjang video bantuan pengadil (VAR), Croatia diberikan sepakan penalti yang dimanfaatkan Modric untuk menewaskan Mike Maignan.

Les Bleus meningkatkan asakan demi mencari gol penyamaan tetapi Ivica Ivusic tidak berdepan sebarang percubaan berbahaya sehinggalah pemain gantian, Aurelien Tchouameni, menguji penjaga gol itu pada awal babak kedua.

Tidak lama kemudian, giliran Kylian Mbappe melepaskan rembatan dari jarak 30 ela tetapi percubaannya tersasar.

Croatia kembali memberikan ancaman pada lewat permainan, di mana Lovro Majer dan Nikola Vlasic memaksa Maignan melakukan aksi menyelamat sebelum pasukan pelawat itu mengesahkan kemenangan, sekali gus melunaskan dendam kekalahan kepada Perancis dalam final Piala Dunia 2018.

Perancis seterusnya akan meneruskan pemburuan kemenangan pertama -- dan berusaha mengelak daripada penyingkiran -- dengan menentang Austria pada 22 September depan manakala Croatia pula akan berdepan pendahulu kumpulan, Denmark, pada hari yang sama.