Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini, mengkritik peminat di Milan kerana mengejek penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, ketika kalah 1-2 kepada Sepanyol dalam separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi tadi, sambil mengatakan pasukan kebangsaan mendahului segala-galanya.

Donnarumma meninggalkan kelab Serie, A Milan, untuk bergabung ke gergasi Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), secara percuma di luar musim ini lalu mendorong sebilangan peminat mengejeknya apabila setiap kali dia menyentuh bola ketika kembali ke San Siro buat pertama kalinya sejak berpindah.

Bintang berusia 21 tahun itu tidak terkesan dengan cemuhan berkenaan walaupun hampir dimalukan apabila gagal menangkap kemas percubaan Marcos Alonso lalu bola melantun ke tiang pintu golnya dalam babak pertama.

"(Donnarumma) pasti tidak gembira dengan ejeken dalam separuh masa pertama tetapi apa yang boleh kami lakukan?," kata Mancini dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Kami semua sudah dewasa dan kami harus menerima situasi ini dan pada akhirnya, saya fikir Gigio telah beraksi baik. Sambutan yang diterima pasti tidak akan menggembirakannya, begitu juga kami. Gigio telah mengharunginya dengan baik."



Mancini menambah: "Kali ini Donnarumma bermain untuk Itali dan bukannya kelab. Situasi ini sepatutnya diketepikan untuk satu malam dan mereka boleh mencemuhnya ketika perlawanan membabitkan PSG dan Milan. Itali adalah Itali dan ia sentiasa mendahului segalanya."

Kekalahan itu mengakhiri rekod 37 perlawanan tanpa kalah juara Eropah itu selain membantutkan hasrat mereka untuk menambah koleksi gelaran Liga Negara-Negara (UNL).

Rentak tanpa kalah Itali bermula pada September 2018 selepas mereka tewas 0-1 kepada Portugal di peringkat kumpulan UNL di Lisbon.

"Lebih baik tidak mengalami kekalahan ini tetapi kami sedar lambat-laun akan tumbang juga," katanya lagi.

"Lebih baik ia berlaku pada malam ini daripada final Euro atau Piala Dunia.

"Saya percaya walaupun tewas, perlawanan ini menjadikan kami lebih ampuh dan membolehkan kami memahami bahawa kami benar-benar pasukan yang hebat."