Roberto Mancini mengakui bahawa usaha untuk menenangi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) merupakan satu tugas sukar walaupun berhasil membawa Itali memenangi Euro 2020.

Itali, yang gagal layak ke Piala Dunia 2018, melalui fasa transformasi luar biasa di bawah bimbingan Mancini sehingga memenangi Euro 2020 pada Julai lalu -- kejuaraan Eropah pertama mereka sejak 1968.

Azzurri, yang diketuai pemain berpengalaman seperti Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci, kini merekodkan 37 perlawanan tanpa tewas menjelang perlawanan separuh akhir UCL menentang Sepanyol awal pagi Khamis ini.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Mancini itu memerlukan penentuan penalti untuk menewaskan Sepanyol dalam separuh akhir Euro 2020 dan pengendali berusia 56 tahun berkenaan menjangkakan satu lagi perlawanan sukar akan disajikan lawan bimbingan Luis Enrique itu di San Siro



"Sepanyol merupakan lawan yang memberikan kami waktu paling sukar dalam Euro 2020. Mereka pasukan yang baik dengan pemain yang bagus," kata Mancini dalam laman web rasmi UEFA.

"Ia akan menjadi perlawanan yang baik. Ia (menghantar bola rendah) adalah kepakaran mereka. Kami tidak mempunyai masa untuk menguasainya di tahap mereka. Ia pasti berbeza kali ini.

"Ia sesuatu yang amat luar biasa jika kami dapat menang (UNL) selepas menjuarai Kejohanan Eropah dan ia akan menjadi luar biasa untuk layak ke Piala Dunia lebih awal tetapi ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.