Romelu Lukaku berang apabila dilabel sebagai penyerang 'curi ayam' (poacher), di mana penggempur Chelsea dan Belgium itu percaya dia merupakan seorang yang serba boleh ketika melakukan serangan.

Pemain berusia 28 tahun itu kembali ke pangkuan Chelsea daripada Inter Milan pada Ogos lalu dan telah menjaringkan empat gol daripada sembilan penampilan musim ini.

Dia menjadi penyerang paling prolifik sepanjang dekad ini, di mana pemain kebangsaan Belgium itu mencapai angka dua digit setiap musim sepanjang sembilan tahun ini.

Sejak menyertai Inter pada awal musim 2019-20, rekod 50 gol daripada 79 perlawanan liga yang dilakukan Lukaku hanya dapat diatasi lima pemain lain yang beraksi dalam lima liga utama Eropah.

Daripada 50 jaringan itu, hanya dua daripadanya terhasil dari luar kawasan penalti -- ketika menentang Brescia dalam musim 2019-20 dan Genoa dalam 2020-21, kedua-duanya sewaktu bersama Inter.

Bagaimanapun, Lukaku berasakan reputasi itu adakalanya menghantui dirinya.

"Dengan cara saya membina badan -- saya agak besar -- semua orang berfikir bahawa saya seorang pemain sasaran; hanya menahan bola dan bermain secara curi ayam (fox in the box)," katanya dalam satu temu bual UEFA.

"Tetapi saya tidak pernah bermain seperti itu dan saya membencinya. Kekuatan terbesar saya adalah saya amat berbahaya apabila berdepan dengan gawang gol, kerana saya jarang melakukan kesilapan.

"Selepas saya melakukan hantaran, saya tahu di mana posisi saya dalam kotak penalti.

"Saya boleh melakukan hampir segala-galanya dalam beberapa perlawanan apabila saya tahu terdapat ruang di belakang pertahanan, saya bermain dengan cara berbeza.

"Sebab saya amat produktif di depan gawang adalah kerana saya mampu melakukan hampir segala-galanya," katanya.



Lukaku menandakan penampilannya yang ke-100 bersama Belgium dengan golnya yang ke-67 ketika menewaskan Republic Czech 3-0 bulan lalu, sekali gus melebarkan rekodnya selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman buat negaranya.

"Melakukan penampilan ke-100 merupakan sesuatu yang benar-benar anda mahukan sejak bergelar pemain muda.

"Saya amat bertuah kerana bermula sewaktu di umur yang amat muda.

"Saya kini sudah 28 tahun, hampir 12 tahun melalui turun dan naik tetapi kami sentiasa berkembang sebagai satu pasukan.

"Pada akhirnya, sasaran utamanya adalah tetap untuk meraih kemenangan dan itulah motivasi saya. Setiap kali saya bermain untuk pasukan kebangsaan, saya mahu menang. Dan untuk memenangi kejohanan," katanya lagi.

Walaupun semakin hampir untuk menamatkan tahun keempat di ranking teratas dunia, Belgium masih belum memenangi sebarang trofi biarpun dibarisi pemain yang digelar generasi emas.

Perkara itu mungkin dapat diubah seandainya pasukan bimbingan Roberto Martinez itu dapat menewaskan Perancis dalam separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL) awal pagi Jumaat ini, di mana Sepanyol dan Itali juga akan bersaing untuk merebut tempat ke final Isnin ini.

"Beberapa tahun ini, kami sentiasa memulakan sesuatu kejohanan dengan amat baik dan jangkaannya juga sentiasa tinggi.

"Dalam Euro 2016, kami tidak dapat melakukannya. Ia terlalu sukar. Sewaktu Piala Dunia 2018, ia berlangsung dengan agak baik.

"Tetapi saya fikir kami perlu melakukan sesuatu yang amat baik dalam UNL agar kami dapat mencapai tahap terbaik menjelang Piala Dunia," katanya lagi.