Ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique, memuji prestasi Gavi ketika membantu Sepanyol mencatat kemenangan 2-1 ke atas Itali dalam separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi tadi.

Gavi yang berusia 17 tahun dan 62 hari muncul pemain termuda dalam barisan La Roja dalam pertembungan di San Siro itu.

Pemain tengah Barcelona itu melengkapkan 94.3 peratus hantarannya di kawasan lawan selain memenangi 19 perebutan bola dan melakukan lebih banyak terjahan (empat) daripada mana-mana rakan sepasukannya.

Dia begitu selesa lantas Luis Enrique membandingkan tahap persembahan anak buahnya itu bagaikan di beraksi di laman sendiri.

"Dia bermain seperti dia berada di sekolah atau di halaman rumahnya, adalah sangat senang untuk memiliki pemain yang mempunyai kualiti dan keperibadian seperti ini," katanya kepada wartawan.





Kemenangan Sepanyol itu mengakhiri rekod 37 perlawanan tanpa kalah Itali untuk menempah tempat ke final Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi Isnin depan, dan akan menentang sama ada Perancis atau Belgium yang akan berentap dalam satu lagi pertembungan separuh akhir, awal pagi esok.

Kemenangan itu dijamin menerusi dua gol daripada bintang Manchester City, Ferran Torres, selain diburukkan lagi insiden kad merah kapten Azzurri, Leonardo Bonucci, dalam separuh masa pertama.

Lorenzo Pellegrini cuba mengurangkan defisit kelebihan mereka pada lewat permainan, tetapi La Roja terus bertahan untuk mencatat satu kemenangan yang sukar dilupakan terhadap pasukan yang menyingkirkan mereka dalam separuh akhir Euro 2020, Julai lalu itu.

"Kami sekali lagi mencipta peluang dan kami mengatasinya," tambahnya.

"Ini adalah satu perlawanan yang sangat baik dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik. Sangat sukar kerana kami hanya memiliki satu setengah sesi latihan bagi menerapkan strategi yang kami mahukan tetapi seperti biasa, pemain-pemain mampu menterjemahkannya.

"Perkara terbaik sejak saya bersama pasukan kebangsaan ialah kami berjaya mempamerkan corak permainan yang dihajati, tidak kira seteru dan kejohanannya. Saya berasa sangat istimewa kerana mempunyai seramai 40 atau 50 pemain yang luar biasa."