Jack Grealish mampu menggalas harapan yang meningkat di bahunya selepas menyerlah dalam karier awalnya bersama England, namun Gareth Southgate menekankan kejayaan hanya akan dicapai sebagai sebuah pasukan.

Perancang Aston Villa itu membuat kemunculan penuh untuk The Three Lions dalam kemenangan 3-0 ke atas Wales bulan lalu -- mencipta gerakan untuk gol pembukaan Dominic Calvert-Lewin -- tetapi tidak menjadi pilihan untuk perlawanan Liga Negara-Negara (UNL) selepas itu.

Dia kemudian mencipta satu lagi umpanan dan kali ini untuk Jadon Sancho dalam kemenangan 3-0 ke atas Republik Ireland selain pamer aksi cemerlang biarpun tewas 0-2 kepada Belgium, hujung minggu lalu, dengan melakukan lebih banyak hantaran di bahagian lawan berbanding pemain lain selain memenangi sepakan percuma sebanyak tujuh kali.




Kekalahan itu mengakhiri harapan England untuk mara ke separuh akhir UNL dan dalam masa sama, timbul saranan agar Southgate mula membangun pasukannya berdasarkan keupayaan pemain berusia 25 tahun tersebut yang telah terlibat dalam 12 gol untuk kelab dan negaranya musim ini.

Ditanya adakah penting untuk menguruskan harapan yang mula membebani Grealish menjelang pertemuan dengan Iceland, awal pagi esok, pengurus England itu berkata sidang akhbar: "Saya rasa perkara seperti itu penting buat mana-mana pemain, kami akan berjaya atau gagal sebagai sebuah pasukan. Semua pemain perlu menyumbang.

"Selama empat tahun terakhir ini, kmi berusaha untuk memastikan harapan perlu dipikul secara kolektif, kami perlu memberi tekanan kepada Harry Kane, Raheem Sterling dan pemain lain, begitu juga dengan Jack.

"Dia membuat kemunculan awal yang sangat baik untuk kariernya di peringkat antarabangsa. Saya rasa dia mampu menangani perhatian terhadapnya kerana dia telah berkembang di bawah tekanan itu. Dia mendapat keberanian dengan mengawal bola jadi saya rasa ia tidak akan membebankannya. Skuad ini akan membawa kami kepada kejayaan yang diraih sebagai sebuah pasukan. "