POLAND 0 BELGIUM 1

Jaringan tunggal Michy Batshuayi dalam babak pertama membantu Belgium menewaskan Poland 1-0 di Stadium Nasional Warsaw awal pagi tadi, sekali gus menghidupkan peluang The Red Devils untuk ke pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL).

Kurang seminggu selepas menjaringkan lima gol dalam babak kedua sewaktu menewaskan lawan sama 6-1 di laman sendiri, pasukan bimbingan Roberto Martinez itu turun beraksi di tempat lawan tanpa nama-nama besar seperti Thibaut Courtois, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku.

Bagaimanapun, mereka berada dalam keadaan selesa sebaik Batshuayi menjaringkan gol pendahuluan pada awal permainan sambil Nicola Zalewski dan Karol Swiderski pula mensia-siakan peluang keemasan buat Poland.

Batshuayi menjaringkan gol tunggal perlawanan itu dengan menanduk masuk lintangan Youri Tielemans ke penjuru kanan bawah gawang lawan pada minit ke-16 untuk memberikan mata ketujuh buat Belgium selepas empat perlawanan.

Pasukan bimbingan Martinez itu kini ketinggalan tiga mata di belakang Belanda dalam carta kedudukan Kumpulan A4 berbaki dua perlawanan dan ia bermakna kedua-dua seteru itu akan mencongak aksi penting apabila bertemu sesama sendiri September depan.

Sebelum itu, Belgium akan menghadapi Wales di laman sendiri pada 22 September depan manakala Belanda pula akan bertandang ke laman Poland pada hari yang sama.