Duo tercedera, Jordan Henderson dan Raheem Sterling, kembali ke kelab masing-masing untuk menjalani penilaian lebih lanjut selepas menarik diri daripada skuad England.

Ketua pasukan Liverpool, Henderson, dikeluarkan dalam separuh masa kedua ketika England tumpas 0-2 kepada Belgium semalam dengan apa yang digambarkan oleh pengurus, Gareth Southgate, sebagai "ototnya sedikit ketat".

Penyerang Manchester City, Sterling, pula tidak beraksi ketika menentang Belgium atas kecederaan ringan yang dialaminya ketika berlatih.

Kedua-dua pemain itu akan diketepikan dalam Liga Negara-Negara (UNL) dengan Iceland, awal pagi esok tetapi Southgate memutuskan untuk tidak memanggil sebarang pengganti.




"Jordan Henderson dan Raheem Sterling akan terlepas perlawanan UNL menentang Iceland," kata satu kenyataan England sebentar tadi.

"Kedua-duanya telah kembali ke kelab masing-masing untuk penilaian lebih lanjut. Gareth Southgate akan meneruskan persiapannya dengan skuad 22 pemain."

Ben Chilwell tersisih lebih awal dalam perlawanan lalu ekoran masalah belakang tetapi masih menjadi sebahagian daripada skuad Southgate untuk menghadapi Iceland di Wembley.

England gagal mempertahankan puncak Kumpulan A2 dengan baki satu perlawanan lagi tetapi terselamat daripada penyingkiran.

Skuad The Three Lions akan mencabar Denmark, yang memiliki kelebihan tiga mata dan masih terbuka untuk lolos ke pusingan akhir seandainya menumbangkan Belgium, dalam perebutan tempat kedua.