Perancis tanpa khidmat Lucas Digne bagi aksi final Liga Negara-Negara selepas pertahanan itu menarik diri daripada skuad Les Bleus ekoran kecederaan hamstring.

Digne merupakan pemain gantian yang tidak diturunkan ketika Perancis bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengatasi Belgium 3-2 di Turin.

Selepas jaringan daripada Karim Benzema dan Kylian Mbappe menyamakan kedudukan, bek-kiri, Theo Hernandez, melengkapkan kebangkitan mereka dengan jaringan kemenangan pada minit ke-90.

Kemenangan tersebut menghantar skuad kendalian Didier Deschamps ke aksi final bertemu Sepanyol esok, walaupun Digne akan terlepas perlawanan tersebut.

Everton mengeluarkan kenyataan bahawa pemain berusia 28 tahun itu telah kembali ke Merseyside dengan kecederaan hamstring yang ringan telah telah dinilai oleh pasukan perubatan kelab.

Rafael Benitez berharap pemain itu akan kembali beraksi bersama Everton bagi aksi 17 Oktober ini bertemu West Ham di Goodison Park.