Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, tidak gusar dengan penurunan prestasi Antoine Griezmann menjelang perlawanan separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Belgium awal pagi Jumaat ini.

Penyerang berusia 30 tahun itu kembali ke Atletico Madrid menerusi satu perpindahan berprofil tinggi daripada Barcelona pada penghujung Ogos lalu selepas melewati dua musim hambar di Camp Nou.

Griezmann dijangka dapat memulihkan prestasinya di ibu kota Sepanyol itu tetapi dia hanya dapat menjaringkan satu gol tanpa sebarang bantuan jaringan sejak awal musim ini.

Jaringan tunggalnya itu hadir ketika Atletico menewaskan AC Milan dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pertengahan minggu lalu sebelum dia sekali lagi tidak berada dalam barisan permulaan ketika menentang Barcelona hujung minggu lalu.

Dia dinamakan dalam senarai 23 pemain Deschamps bagi perlawanan UNL minggu ini, di mana Perancis akan bertemu Belgium dalam separuh akhir.

Les Blues kemudian akan menghadapi sama ada Itali atau Sepanyol dalam final atau penentuan tempat ketiga awal pagi Isnin ini.

Saingan UNL kali ini merupakan pentas untuk Perancis menebus maruah selepas tersingkir dalam pusingan 16 Euro 2020 pada Julai lalu tetapi mereka perlu menangani dua pasukan yang berada dalam kelompok ranking lapan teratas dunia.

Deschamps, bagaimanapun, tidak ada kegusaran untuk menurunkan Griezmann -- yang telah mengumpulkan 41 jaringan daripada 98 penampilan buat Perancis -- dalam dua perlawanan itu.

"Jaringannya dalam UCL merupakan sesuatu yang amat positif," kata Deschamps dalam sidang media.

"Walaupun dia tidak memulakan perlawanan, jaringan itu akan meningkatkan tahap keyakinannya.

"Dia kembali menyertai kelab yang amat dikenalinya tetapi dengan pemain berbeza di sekelilingnya. Ia bukan mudah seperti memetik jari.

"Tetapi disebabkan kualiti dan keadaan mindanya, saya tidak gusar mengenainya.

"Saya tahu dia akan berasa gembira untuk menyertai pasukan Perancis," katanya.