Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez yakin, pasukannya kini lebih mantap berbanding tiga tahun lalu yang menyaksikan mereka mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018.

Skuad bimbingannya menguasai ranking pertama dunia dan akan menentang Perancis selaku juara Piala Dunia dalam separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi esok.

Selepas meraih tempat ketiga dalam temasya Russia 2018, Belgium dikecewakan Itali dalam suku akhir Euro 2020, Julai lalu, hingga generasi emas The Red Devils itu dilabel telah melepaskan peluang mereka untuk menjulang kejuaraan.

Kesebelasan yang diterapkan Martinez dalam kekalahan separuh akhir Piala Dunia itu adalah yang tertua (purata 28 tahun, 356 hari) dalam catatan mereka, jadi mungkin ada yang berpendapat mereka telah melepasi kemuncak prestasi.





Kebelakangan ini, Belgium telah menurunkan kesebelasan dengan purata usia 29 tahun atau lebih , iaitu sebanyak sembilan kali dan tujuh daripadanya berlaku pada tahun ini.

"Saya percaya bahawa kami lebih mantap hanya kerana secara dalamannya, saya berasakan kami mampu mengimbangi skuad ketika ada pemain yang digantung atau tersisih," kata Martinez menjelang pertemuan di Turin, esok.

"Saya fikir kumpulan pemain ini telah berkembang dan juga penambahan tiga tahun lagi untuk kami berpeluang beraksi bersama.

"Itulah yang membentuk kami, sesuatu yang sukar diperoleh dalam bola sepak antarabangsa. Kami sentiasa berusaha untuk mempunyai kesinambungan tertentu dengan barisan pemain dan berusaha untuk bekerja seperti dalam persekitaran kelab.

"Persefahaman antara pemain kini jauh lebih baik. Kami telah melalui banyak pengalaman bersama. Daripada segi pengalaman dan kumpulan pemain, saya percaya bahawa kami lebih kuat daripada pada tahun 2018."