Jose Mourinho telah memaklumkan kepada skuad Manchester United betapa pentingnya final Piala EFL, kata Juan Mata.

Kali terakhir United muncul juara kejohanan itu adalah pada 2010 dan hanya meraih satu kejuaraan -- Piala FA musim lalu -- sejak berakhirnya era Sir Alex Ferguson pada akhir musim 2012-13.

Aksi final berdepan Southampton lewat malam esok akan mempersembahkan Mourinho peluang terbaik untuk meraih kejuaraan pertama bersama kelab itu, selepas mengutip Piala Sumbangsih, Ogos lalu.

Walaupun United masih dalam perjalanan mempertahankan Piala FA dan Liga Europa, Mata menegaskan mereka tidak akan mengambil mudah pertemuan malam esok.

"Ya, dia memberitahu kami betapa pentingnya final ini," Mata memberitahu Sky Sports.

"Tidak kira sama ada ia hanya final Piala Liga -- ia tetap final yang penting kerana kamu tidak akan tahu bila lagi peluang ini akan tiba.

"Jadi, kami perlu mengambil peluang ini dan cuba menang.

"Aksi final membawa erti istimewa dalam karier setiap pemain. Beraksi di Wembley di hadapan penyokong sendiri menghadirkan suasana yang mengagumkan."

Kali terakhir Mata beraksi di Wembley adalah dalam aksi Piala Sumbangsih berdepan Leicester awal musim ini.