Kemenangan 2-0 Manchester United ke atas Villarreal di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara semalam pastinya sedikit melegakan penyokong mereka.

Di sebalik segala badai yang melanda, setidak-tidaknya United kini layak ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, teka-teki tentang siapakah pengurus berikutnya yang bakal mengisi kerusi panas United nampaknya bakal berterusan buat jangka masa panjang.

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, adalah calon yang paling awal dikhabarkan bakal dilantik.

Dalam temu bual bersama akhbar The Guardian, Pochettino menegaskan yang dia enggan melayan sebarang ura-ura tentang minat United terhadap dirinya dan dia bahagia bersama PSG.



Namun, ceritanya berlainan pula menurut laporan akhbar Perancis, L'Equipe.

Wartawan akhbar tersebut, Vincent Duluc, merumuskannya secara terperinci: "Pada awalnya, semua penyokong PSG gembira dengan pelantikan Pochettino kerana mereka sudah menyampah dengan Thomas Tuchel, apatah lagi Pochettino adalah bekas pemain PSG.

"Masalah utama di PSG sekarang ini adalah kelab tersebut sendiri, bukannya pengurus mereka. Di PSG, pemain yang berkuasa, bukannya pengurus.

"Pochettino tidak diberikan peluang untuk bersuara dalam pelbagai aspek, termasuk hal-ehwal pembelian pemain.

"Berhadapan dengan kerenah pemain bertaraf bintang yang sarat dengan ego masing-masing, dicampur pula dengan pihak pengurusan yang tidak membantu, tidak hairan jika Pochettino kecewa dan ingin berpindah."

Tidak meletakkan segala harapan terhadap Pochettino semata-mata, pelbagai sumber lain turut melaporkan yang United turut memulakan perbincangan bersama bekas pengurus Barcelona, Ernesto Valverde.

Valverde telah memimpin Barcelona dari Mei 2017 hingga Januari 2020 dan kini tidak terikat dengan mana-mana kelab.

Di bawah pengelolaannya, Barca berjaya menjuarai La Liga sebanyak dua kali dan menjulang Copa Del Rey sekali.

Selain daripada pencapaiannya yang baik, dikhabarkan juga bahawa pengalaman Valverde dalam mengendalikan Lionel Messi bakal membantunya untuk menguruskan Cristiano Ronaldo dan mencipta keharmonian dalam pasukan.



Ada juga pihak yang mencadangkan bahawa pengurus sementara, Michael Carrick, harus diperhatikan persembahannya kerana dia adalah bekas pemain United yang arif dengan selok-belok kelab di samping berjaya memimpin United untuk mencapai kemenangan penting dalam perlawanan sulung kendaliannya.

Tidak dinafikan, itu bukanlah satu kemustahilan.

Namun, sebaik mana pun pencapaian yang mungkin dicapai oleh Carrick, mahukah United mengulangi skrip serupa seperti apa yang berlaku dengan Ole Gunnar Solskjaer?

Sekadar untuk mengimbau kenangan, Solksjaer memulakan tugasnya sebagai pengurus sementara sebelum rentetan kemenangan dan persembahan yang baik mendorong pihak pengurusan untuk menjadikannya pengurus tetap.

Hasilnya? Semua pasti tahu.

Akhir kata, ulasan seorang lagi bekas pemain United, Paul Scholes, dalam temu bual bersama BT Sport seharusnya dijadikan panduan.

"Kita berbicara tentang Manchester United dan United memerlukan pengurus terbaik dalam kalangan terbaik untuk memimpin mereka.

"Michael Carrick? Dia tidak ada pengalaman sebagai pengurus sebelum ini dan baru memenangi satu perlawanan.

"Biarpun saya sukakan dia sebagai seorang rakan, apa yang United perlukan adalah seorang pengurus yang terbaik dalam pasaran."