Manchester United sedang memperoleh keuntungan hasil pembelian Alexis Sanchez walaupun mengalami kerugian separuh tahunan sebanyak GBP21.1 juta pada penghujung 2017.

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, keuntungan sebanyak empat peratus membolehkan United mencatat tambahan GBP163.9 juta (RM900 juta), sekali gus meletakkan jangkaan keuntungan berjumlah GBP585 juta (RM3.2 bilion) bagi tahun 2018.

Kerugian yang dialami sebelum ini adalah disebabkan oleh kesan daripada perubahan cukai korporat di Amerika Syarikat susulan pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat.

"Perbelanjaan suku terkini, termasuk cukai tidak tunai, mencatatkan tambahan GBP48.8 juta (RM267 juta)," kata satu kenyataan wakil United.

Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward, menyifatkan proses perniagaan yang kukuh membolehkan kelab itu melabur dengan lebih banyak, terutama terhadap pembaharuan kontrak Jose Mourinho selaku pengurus dan kehadiran Sanchez.

"Sanchez telah mencatatkan rekod baru bagi perpindahan Januari daripada segi penjualan jersi, iaitu tiga kali ganda. Ia meraih dua juta "like" dan komen menerusi laman sosial Instagram meraih perkongsian paling banyak menerusi Facebook dan menular paling banyak di Twitter dengan #Alexis7.

"Pengumuman itu mencatatkan lebih 75 peratus berbanding ketika Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan pembelian rekod dunia Neymar pada musim panas lalu."