Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris itu mahu menamatkan krisis di jentera serangan menjelang jendela perpindahan Januari depan.

United bergelut untuk menjaringkan gol dan kekurangan kreativiti sejak pemergian Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez dengan The Red Devils ketika ini menduduki tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris menjelang pertemuan dengan Arsenal di Old Trafford awal pagi esok.

Sebelum ini, skuad kendalian Solskjaer itu pernah dikaitkan untuk mendapatkan gandingan penyerang Juventus, Mario Mandzukic dan Paulo Dybala, selain pemain muda Borussia Dotmund, Jadon Sancho, dan bintang Athletic Bilbao, Inaki Williams.

Spekulasi berkenaan United dengan Mandzukic dan Sancho masih berterusan tatkala perkhabaran mengenai pemain Lyon, Moussa Dembele, turut kedengaran manakala pemain tengah Leicester City, James Maddison, turut dikatakan menjadi sasaran Solskjaer demi meningkatkan kreativiti pasukannya.

"Kami membenarkan Romelu dan Alexis meninggalkan pasukan, anda tidak perlu menjadi terlalu bijak untuk mengetahui sasaran kami selepas ini adalah untuk mengambil penyerang baru," kata Solskjaer, yang pasukannya hanya menjaringkan lapan gol daripada enam perlawanan pertama musim ini -- 13 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

"Kami sedang berusaha untuk meningkatkan kreativiti dan gol.

"Tiada gunanya membawa masuk pemain yang anda tidak 100 peratus yakin.

"Apabila anda membawa masuk pemain, anda memerlukan pilihan yang tepat untuk mereka kekal di sini bagi tempoh yang lama dan itulah perancangan jangka panjang yang kami perlu buktikan.

"Saya tidak boleh befikir seperti 'saya memerlukan pemain kerana ia melibatkan reputasi saya'.

"Tidak, ia mengenai kelab ini.

"Terdapat beberapa penyerang (yang boleh diambil dalam jendela perpindahan lalu), namun mereka bukanlah yang kami perlukan.

"Kami tidak dapat penyerang yang kami mahukan," katanya.

Ketika United terus bergelut, Lukaku kian menyerlah sejak menyertai Inter dengan rekod pembelian termahal kelab berkenaan.

Bintang Belgium itu menjaringkan tiga gol bagi membantu skuad kendalian Antonio Conte itu memenangi keenam-enam perlawanan pertama Serie A musim ini.

Solskjaer menambah: "Ia sudah sampai masanya untuk Rom meninggalkan kami. Dia juga tahu perkara itu.

"Kami sedang memperbaiki hubungan dalam kelab, corak permainan, persefahaman dan kami sudah mula menguatkan asas itu, kami telah bertahan dengan amat baik.

"Tetapi kami belum berpuas hati dengan jentera serangan.

"Sudah pasti anda tidak kisah jika dapat menjaringkan gol daripada situasi bola mati dan dari bahagian tengah.

"Saya fikir penyerang kami akan sentiasa memberikan kami jaringan dan sudah pasti kami menjangkakannya dan berharap ia akan terjadi," tambahnya.