Tempoh pinjaman penjaga gol Manchester United, Dean Henderson, di Sheffield United akan dipanjangkan sehingga penghujung musim ini.

Pemain berusia 23 tahun itu sepatutnya berada di Bramall Lane sehingga hujung bulan ini tetapi pandemik koronavirus menyebabkan musim ini ditamatkan lebih lewat dan skuad The Blades itu bersetuju untuk memanjangkan tempoh pinjamannya.

Ia merupakan musim kedua Henderson bersama Sheffield United selepas membantu mereka layak ke Liga Perdana daripada Liga Kejuaraan musim lalu.

Dia kerap mencuri tumpuan dalam skuad kendalian Chris Wilder itu musim ini dan ramai beranggapan dia mampu memberikan saingan kepada David de Gea dalam merebut posisi nombor satu di Old Trafford musim depan.

Bagaimanapun, prestasinya kian merosot sejak bola sepak Inggeris kembali bersambung awal bulan ini, di mana skuad The Blades itu gagal memenangi empat perlawanan terakhir dengan Henderson diturunkan dalam tiga daripada perlawanan itu.

Henderson tidak dapat beraksi ketika bertemu United di Old Trafford dalam perlawanan terbaru Liga Perdana Inggeris tetapi menjadi punca ketika Arsenal menjaringkan gol kemenangan dalam suku akhir Piala FA awal pagi semalam.